Thursday, June 9, 2011

Motivasi Bisnes.....

Kebiasaan halangan mereka yang ingin memulakan bisnes ini adalah risiko kerugian. Keuntungan dan kerugian itu merupakan lumrah dalam dunia bisnes. Kerugian yang dialami itu perlulah dianalisa agar ia tidak berulang lagi. 'Kalau takut akan risiko usah bicara tentang perjuangan'. "Jika risau badai tsunami akan melanda jangan berpondok di tepi pantai'.
Sebetulnya, seorang manusia yang lahir di dunia ini sebenarnya sudah berhadapan dengan risiko. Malah seorang ibu yang melahirkan kita di dunia ini juga berhadapan dengan risiko kesakitan, kematian dan sebagainya demi untuk kehidupan seorang anak. Kemudian mereka membesarkan kita, mendidik kita, menghantar kita ke sekolah, menikahkan kita dengan berhadapan dengan pelbagai risiko. Kalau sedari mula lagi ibu bapa kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, kemungkinan atas alasan itulah kita tidak mungkin berada di dunia ini.
Atas dasar itulah, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah malu dan berasa hina dengan berniaga hatta untungnya cuma RM0.50 cuma atau berniaga di pasar malam mahupun goreng pisang di jalanan. Berbanggalah, kerana dengan berniaga itulah kita mampu berdikari sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.
Hasil yang diperolehi atas keringat sendiri itu pastinya suatu kebanggaan dan kepuasan yang tidak mampu digambarkan oleh mata fikiran. Bak kata seorang sahabat, "berniaga ini seharusnya mendekatkan pergantungan kita dengan Allah kerana gaji kita tidak diberikan oleh sesiapa tetapi kita bertawakkal kepada Allah untuk beroleh rezeki atas perniagaan yang kita usahakan.

No comments:

Post a Comment